Monday, November 4, 2013

Umrah -Dihimpit Tok Arab-

Assalamualaikum...

Berkali kali aku berdoa mohon dijauhkan perasaan riak dan takbur ketika menulis entri ini. Permudahkanlah Ya Allah. Ini hanya perkongsian pengalaman aku ketika berusaha untuk mendekati Kaabah nan indah.

Misi untuk mendekati Kaabah. Pada waktu pagi lebih kurang pukul 10pagi lebih macam tu. Kami berlapan iaitu aku dan mak, pakteh dan makteh, paksu dan maksu, kak Ton dan suaminya cik Din,  bergerak menuju Masjidil Haram dengan misi untuk mendekati Kaabah dan melakukan solat sunat berdekatan Kaabah dan tempat yg mustajab doa.

Sampai dalam kawasan tawaf, aku perhatikan keadaan tidaklah padat sangat dengan manusia. Ramai juga tapi tidak terlalu padat. Aku membaca doa Rabbi Yassir Wala Tu assir, permudahkanlah kami Ya Allah,permudahkanlah.. kemudian Pakteh sebagai ketua kami (kerana telah berpengalaman banyak kali menunaikan umrah dan haji ),memecahkan kami kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama, aku, maksu, paksu, makteh dan pakteh sebagai ketua. Kumpulan kedua, mak, Kak Ton, cik Din dan paksu (paksu akan jadi ketua untuk kumpulan kedua ).

Kami mula bergerak dalam barisan seperti keretapi untuk mendekati Kaabah. Aku dan maksu cuba menjaga makteh yg sedikit uzur kerana dia berjalan menggunakan tongkat. Pakteh di hadapan mula berjalan sambil mengangkat tangan ke atas untuk meminta sedikit ruang untuk kami mendekati Kaabah. Manakala paksu menjaga kami di belakang. Aku, maksu dan makteh di tengah. 

Kami mula mendekati ribuan manusia yg sedang melakukan tawaf. Seperti hendak  melintas jalan tetapi jalan tersebut ada kereta yg banyak dan lalu lintas sesak. Lebih kurang begitulah situasinya. Alhamdulillah, lepas. Kami mula mendekati Multazam tempat yg mustajab untuk berdoa.

Pakteh terus berkata, ok boleh kucup Kaabah sekarang. Subhanallah, jujur aku agak kaku dan terpinga pada mulanya. Seperti tidak percaya Kaabah berada di depan mata dan saat itu aku boleh mengucup dan memegang Kaabah pula. Subhanallah Allahuakbar rahmat Allah. Air mata mengalir tanpa henti. Aku mengucup dinding Kaabah dan berdoa. Walaupun keadaan agak kelam kabut, dengan ribuan manusia yg berasak asak untuk mendekati Kaabah, aku bagaikan berada dalam duniaku sendiri. Yg ada hanya aku, Allah dan Kaabah. Meratapi dan memohon keampunan atas dosa dosa lalu.

Kemudian aku sempat solat sunat Taubat di Multazam. Pada mulanya aku agak was was. Fikir aku mana mungkin aku dapat sujud dengan ribuan manusia berasak asak sebegitu rupa. Tetapi pakteh meyakinkan aku, boleh boleh solat cepat. Pakteh dan paksu jaga. Aku dengar pakteh berkata pada orang Arab yg berasak asak menolak, 'Nisa , solat, Nisa , solat '. Aku lihat di kananku makteh mula solat, di kiriku maksu juga mula solat. Tanpa berlengah, aku terus solat sunat Taubat di Multazam. Indahnya solat bila Kaabah hanya berada sejengkal dariku. Allahuakbar....

Kemudian kami bergerak menuju ke Hijir Ismail di Rukun Iraqi.. sekali lagi berdoa. Di sini keadaan sangat padat. Sekali lagi pakteh suruh kami solat sunat di sini. Aku solat sunat Hajat di sini. Berdoa. Subhanallah Allahuakbar nikmat.. tak terhingga.

Kemudian kami bergerak menuju ke Hajarul Aswad. Keadaan di sini lebih padat dan ada kalanya seperti ombak lautan manusia. Terasa mengah. Aku kuatkan hati sambil berkata dalam hati permudahkanlah Ya Allah sikit saja lagi. Kami sempat mengucup batu syurga di Rukun Yamani. Tetapi tidak berkesempatan untuk mengucup Hajarul Aswad kerana manusia terlalu padat dan berasak asak.

Ketika inilah aku dihimpit seorang tok arab yg berbadan besar. Selesai aku mengucup batu syurga, apabila aku nak pusingkan badan ke belakang ketika inilah aku dihimpit. Aku tak boleh bernafas. Terasa mengah. Hanya kepala didongakkan ke atas untuk mengambil oksigen. Aku hanya berkata 'Allah... ' .Ketika itu makteh nampak aku berkeadaan begitu lalu makteh segera berkata 'Ayuss, baca Rabbi Yassir Wala Tu assir.. '. Aku segera baca doa itu. Dan kemudian seperti ada laluan kosong didepan aku. Subhanallah... Allah Maha Mendengar Lagi Maha Berkuasa. Aku boleh keluar dengan mudah sambil memimpin tangan makteh.

Makteh berkata 'Ayus nampak dak tadi? kuasa Allah, baca doa tu Allah mudahkan '. 'Ye makteh 'aku berkata. Kemudian kami bergerak ke tempat mak dan kakTon menunggu kami, dipinggir kawasan tawaf. Kemudian kumpulan mak pula yg pergi mendekati Kaabah diketuai oleh paksu.

Penat dan mengah hanya itu yg aku rasa ketika itu. Disamping rasa syukur tak terhingga dipermudahkan untuk mendekati Kaabah. Sambil menunggu mak, aku memandang Kaabah tanpa ada rasa bosan. Indahnya Kaabah....

Keajaiban yg telah kami tempuh bukan secara kebetulan. Kami berdoa, Allah mendengar dan Allah berkuasa untuk menunaikan apa yg telah kami pohon. Alhamdulillah syukur Ya Allah.

No comments:

Post a Comment